"Sayang kena hafal password Maybank2u abang ni," pesan Cikgu Tg lembut dalam kereta semasa dalam perjalanan pulang ke Port Dickson dari kampung halaman semalam.
"Kalau abang meninggal nanti, perkara pertama sayang kena buat sebelum menangis ialah keluarkan sebanyak mungkin limit harian abang," tambahnya.
"InshaAllah bang," jawab isterinya bersahaja. Mungkin memikirkan ada benarnya kata-kata Cikgu Tg ini, tetapi terlalu berat untuk difikirkan.
"Sayang faham kalau meninggal nanti, semua akaun bank, KWSP, Tabung Haji, ASB dan semua institusi kewangan yang ada akan dibekukan," semestinya dia arif.
Semasa di USIM dulu dia mengambil jurusan Financial Math dan belajar tentang Muamalat dan Takaful ini.
"Pernah terjadi satu kes di mana arwah suami seorang isteri ini meninggal dunia. Si isteri dapat keluarkan setiap hari RM5,000 selama 3 hari berturut-turut sebelum akaun bank itu dibekukan. Alhamdulillah sekurang-kurangnya si isteri ini telah mempunyai RM15,000 dalam tangan untuk menguruskan pengebumian, langsaikan hutang-hutang arwah dan agihkan duit itu sebagai pusaka kepada yang berhak.
"Ada jugalah yang dapat duit sedikit sebelum menunggu duit hibah takaful RM100,000 yang ditinggalkan oleh arwah suami beliau diserahkan 4 bulan selepas itu," kata Cikgu Tg memberikan contoh agar isterinya benar-benar memahami apa yang dia cuba sampaikan.
Bicara ini adalah kisah benar semalam, kami berbincang dalam nada bersahaja namun betul-betul serius tentang hal ini.
Buat para isteri di luar sana, berapa ramai di kalangan anda yang mengetahui ID dan password akaun bank suami anda? Jika belum, bincanglah dengan suami masing-masing mengenai perkara penting ini.
Hal tentang masa depan bukan setakat membincangkan hal anak-anak akan datang, nak bersekolah di mana, raya tahun ini nak pakai baju warna apa, hujung minggu kelak nak beli barang dapur berapa bajetnya?
Hal tentang 'Peninggalan' juga perlu difikirkan bersama di saat Allah masih lagi memberikan kita peluang untuk tidur sekatil. Kerana apabila kita dijemput Ilahi, sangat berbeza mereka yang mempunyai perancangan dan mereka yang tiada langsung perbincangan.
Ramai yang terkejut tidak terkata dan terus buntu tidak tahu ingin buat apa jika sewaktu hayat ini tidak pernah mereka berbincang tentang kematian. Padahal ia adalah suatu kepastian.
Fikirkanlah, ramai kawan-kawan kita yang telah eprgi pada usia sebaya kita. Kita juga tidak terkecuali, suatu hari nanti pasti akan menghadapNya jua. - Cikgu Tg | PIXEL MEDIA
Friday, 15 July 2016
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment